Caprice tetap nak saman Mydin sebagai pengajaran kepada yang lain supaya henti membulinya di media sosial
Kuala Lumpur : Penyanyi rap, Caprice akan meneruskan saman terhadap syarikat terkemuka, Mydin yang disifatkan sebagai bertanggungjawab memuat naik hantaran berbaur sindiran.
Dalam hantaran di Instagram Story, Caprice menjawab pertanyaan pengikutnya dan akan meneruskan dengan saman.
"Ya (teruskan saman). Saya tak pernah sangka, orang yang kita hormati akan melakukan perkara serendah ini dengan membenarkan pasukan media sosialnya untuk menyindir dan perli saya.
"Bagaimana nak nafikan sedangkan ruang komen memang 'tag' dan tahu itu mengenai saya," tulisnya.
Caprice juga mendakwa, syarikat itu dengan sengaja mengajak masyarakat untuk menyindirnya.
"Sangat mengecewakan. Mereka tahu apa mereka buat dengan menggunakan ayat nama 'cap' dan 'rice'. Tapi, buat-buat tak tahu.
"Nak ajak orang perli, sindir, sila bos. Tanggunglah dosa itu. Ingat tua-tua, kita akan fikir kubur, tapi nak sangat 'cool' dan 'in trend'. Sanggup kejar mata," tulisnya.
Caprice juga menutup ruang komen dalam hantarannya berkaitan syarikat itu di Instagram dengan alasan, dia adalah pihak yang memfailkan saman.
"Sebagai pihak yang memfailkan kes, komen di hantaran peribadi mengenai Mydin boleh dibawa ke mahkamah. Sama juga, apa-apa komen yang ditulis oleh orang awam dari hantaran di akaun rasmi mereka, juga boleh dibawa ke mahkamah," katanya.
Semalam, akaun Twitter rasmi Mydin memuat naik ciapan menggunakan perkataan 'cap' dan 'rice', merujuk kepada produk jualan mereka iaitu topi dan beras.
Kemudian, mereka juga memuat naik satu lagi ciapan berserta gambar cili, yang juga produk jualan mereka.
Ciapan itu disambut baik oleh netizen termasuklah jenama telefon pintar Oppo yang bertanya, sama ada mereka menjual plastik yang tidak mudah koyak.
@liputan_7