Beli 2 Biji Musang King RM 140, Tapi Buruk Dan Berulat

RAUB - Akibat terlalu percaya dengan jaminan peniaga, seorang pesara guru terpaksa 'gigit jari' apabila durian musang king yang dibelinya di sini sudah buruk dan berulat.

Salehuddin Mat Rasad, 61, berkata, dia membeli dua biji durian musang king dengan harga RM140 di sebuah pusat jualan dan pengumpulan durian di Sungai Klau di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dia sebelum itu ada nampak kesan lubang pada kulit durian berkenaan tetapi penjual meyakinkannya bahawa isi buah berkenaan adalah elok.

Katanya, akibat yakin dengan jaminan tersebut, dia tidak meminta penjual untuk mengopek kulit buah tersebut terlebih dahulu untuk diperiksa.

"Pada malam itu, saya kopek kulit durian itu, tapi hanya sebiji yang boleh dimakan, manakala sebiji lagi sudah buruk dan berulat," katanya pada Sinar Harian di sini Selasa.

Salehuddin berkata, dia kecewa kerana tidak dapat menikmati buah tersebut sepenuhnya, namun dia akur kerana kesalahan sendiri tidak meminta penjual mengopek buah tersebut terlebih dahulu sebelum membeli.

"Sebiji lagi walaupun elok tapi cuma ada empat ulas sahaja yang boleh dimakan.

Ini kali pertama saya beli durian pada tahun ini sebab teringin sangat untuk menikmatinya bersama keluarga," ujarnya.

Salehudin berkata, dia berkongsi pengalamannya itu sebagai peringatan kepada orang lain supaya tidak terbeli buah durian yang sudah busuk.

Dalam masa sama, dia juga berharap peniaga durian bersikap jujur dan tidak menindas pembeli untuk mendapat keuntungan semata-mata.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo