Belasah, cederakan junior dengan seterika


Belasah, cederakan junior dengan seterika

"Polis menahan 10 suspek kes buli hingga mendatangkan kecederaan membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah asrama sekolah menengah"


Teluk Intan: Polis menahan 10 suspek kes buli hingga mendatangkan kecederaan membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah asrama sekolah menengah di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 16 hingga 17 tahun itu direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 9.40 malam, Khamis lalu.

Beliau berkata, mangsa dibuli 10 pelajar senior antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi sebelum laporan polis dibuat pada 9.40 malam, hari sama.

"Seorang suspek membawa mangsa ke bilik asramanya dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai dan mencederakannya menggunakan seterika panas pada badannya.

"Mangsa kemudian menghubungi ibunya dan mengadu sakit di pinggang sebelum ibunya membawa mangsa ke hospital," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat cemburu selepas pelajar junior itu berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada salah seorang suspek.

"Semua suspek ditahan pada 11.20 malam pada hari sama dan direman bagi membantu siasatan. Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kegusaran dan kekeliruan masyarakat.

"Ia juga dibimbangi akan mengganggu siasatan polis. Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak menularkan maklumat tidak sahih dan disaran membuat laporan dan aduan di balai polis berhampiran," katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo