Buku homoseksual diharamkan di Malaysia


Buku homoseksual diharamkan di Malaysia

Buku homoseksual  'Gay is OK' A Christian Persepctive itu mempertahankan, mempromosikan dan menggalakkan homoseksual, sambil menambah homoseksualiti dianggap tidak bermoral dan tidak diterima oleh masyarakat umum di Malaysia.

Putrajaya: Keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku 'Gay is OK' A Christian Persepctive" adalah sah, rasional dan mengikut undang-undang, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.


Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Alwi yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa Menteri Dalam Negeri sudah mempertimbangkan kandungan buku itu berkemungkinan menjejaskan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.


Beliau berkata buku itu mempertahankan, mempromosikan dan menggalakkan homoseksual, sambil menambah homoseksualiti dianggap tidak bermoral dan tidak diterima oleh masyarakat umum di Malaysia.


Beliau berkata ini dapat dilihat dalam afidavit menteri yang menyatakan bahawa respons masyarakat terhadap isu membabitkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan bantahan terhadap homoseksual.


"Cara hidup homoseksual dilarang oleh semua agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Fakta ini dapat dilihat melalui penolakan terhadap homoseksual oleh masyarakat umum di Malaysia yang merupakan masyarakat berbilang agama," kata Ahmad Hanir, yang dibantu Peguam Persekutuan Mohammad Salehuddin Md Ali.


Beliau berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam keputusannya apabila membenarkan semakan kehakiman oleh Penerbit Chong Ton Sin dan Pengarang Ngeo Boon untuk membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan buku itu.


Menteri Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan memohon untuk mengembalikan larangan itu yang telah ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Februari 2022.


Sementara itu, peguam Edmund Bon Tai Soon yang mewakili Chong dan Ngeo berhujah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin adalah betul dalam alasannya bahawa Menteri Dalam Negeri gagal mewajarkan larangan itu atas alasan buku tersebut berkemungkinan memudaratkan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam.


Beliau berkata buku itu memberikan pandangan alternatif daripada perspektif Kristian sama ada homoseksual harus ditentang.


Bon yang dibantu oleh peguam Michael Cheah Ern Tien berkata Menteri Dalam Negeri tidak membaca buku itu secara keseluruhan dan memahaminya dari sudut objektif, sambil menambah bahawa ia hanyalah penilaian subjektif Menteri Dalam Negeri terhadap buku itu.


Pada 17 Februari 2021, Chong dan Ngeo memfailkan semakan kehakiman yang mendakwa perintah pengharaman itu adalah tidak rasional serta tidak seimbang kerana tidak berlaku insiden tidak diingini yang dicetuskan oleh buku tersebut sejak ia diterbitkan lebih tujuh tahun lalu.


Pada 18 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan satu perintah larangan terhadap buku itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang berkuat kuasa pada 27 November tahun sama.


Hakim Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Hakim Datuk M.Gunalan dan Hakim Datuk Wong Kian Kheong menetapkan 25 Mei untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan rayuan.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo