'Sukar tidur nyenyak, risau rakyat tidak beraya' - Ahli Parlimen



'Sukar tidur nyenyak, risau rakyat tidak beraya' - Ahli Parlimen

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mendedahkan tanggungjawab berat wakil rakyat pembangkang yang tidak menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan, menyebabkan beliau sukar tidur nyenyak menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


Hal ini kerana Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendedahkan kebimbangan beliau bahawa terdapat kemungkinan ada sebilangan golongan rentan yang hidup susah di kawasannya, tidak dapat menyambut perayaan utama umat Islam itu disebabkan kegagalannya menyalurkan bantuan sewajarnya.


Memandangkan sehingga kini semua wakil rakyat pembangkang masih belum menerima peruntukan ahli Parlimen daripada Kerajaan Perpaduan, Wan Ahmad Fayshal mendedahkan mereka terpaksa menggunakan wang poket sendiri untuk mengurangkan bebanan masyarakat di kawasan masing-masing.


"Seperti di Machang, kami memfokuskan bantuan kepada kumpulan miskin tegar dengan memberi bantuan barangan keperluan harian, menghadiahkan sepasang set baju Melayu kepada anak-anak yang memerlukan dan beberapa lagi usaha lain.


"Kami terpaksa berterus terang kepada rakyat bahawa peruntukan masih belum diberikan sehingga kini. Oleh itu, selain meminta rakyat untuk bersabar, kami teruskan juga pelbagai inisiatif yang dapat membantu rakyat.


"Bukan senang untuk seseorang wakil rakyat itu dapat tidur nyenyak sedangkan rakyat masih berjaga memikirkan hari esok. Oleh itu, kami menggunakan apa sahaja saluran yang memudahkan rakyat untuk memohon bantuan termasuklah menerusi NGO-NGO (badan bukan kerajaan) dan sumbangan orang ramai," luahnya kepada Sinar Premium.


Beliau berkata demikian bagi mengulas cabaran besar dihadapi 74 wakil rakyat pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) dalam memenuhi keperluan perayaan Aidilfitri rakyat memerlukan di kawasan masing-masing.


'Supaya ahli Parlimen lebih beradab di Dewan Rakyat'

MoU ikat ahli Parlimen sah, ambil semangat Akta Anti Lompat Parti

Sebelum ini, beberapa pemimpin PN termasuk Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan sikap pihak kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengagihkan peruntukan tahunan ahli Parlimen kepada wakil-wakil rakyat pembangkang sebagaimana diamalkan oleh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Pada 4 April lalu, Anwar mengulangi kesediaannya memberi peruntukan yang sama kepada ahli Parlimen pembangkang, seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.


Bagaimanapun, katanya, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter diluluskan, selain menasihati ahli Parlimen pembangkang untuk bersedia berdepan sebarang kebarangkalian, jika enggan berunding.


Berikutan itu, PN melantik tiga wakil bagi menyertai rundingan itu yang diketuai Hamzah sendiri selaku Setiausaha Agung PN; Naib Presiden Bersatu, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.


Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayshal menegaskan rundingan peruntukan ahli Parlimen pembangkang itu sepatutnya dibuat lebih awal daripada tarikh perayaan Aidilfitri dengan kerajaan sepatutnya sudah boleh menyalurkannya secara berperingkat bagi mengurangkan beban wakil rakyat pembangkang.


"Kalau benarlah Perdana Menteri begitu ambil kisah dengan nasib rakyat seperti yang beliau sering laungkan dalam syarahan-syarahannya, maka beliau tidak sepatutnya membiarkan wakil rakyat pembangkang datang melutut dan mengemis merayu diagihkan peruntukan untuk rakyat kepada kami.


"Isu peruntukan dana rakyat ini tidak perlu wujud sama sekali. Kerajaan sendiri tahu bahawa peruntukan ini bukanlah untuk ahli parlimen tetapi untuk rakyat jelata," ujar beliau.


Wan Fayshal turut menjangkakan sikap keras kepala Kerajaan Perpaduan termasuklah menolak permintaan rakyat agar inisiatif pengeluaran Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) bersasar buat kali terakhir juga bakal memakan diri mereka pada persaingan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) enam negeri kelak.


"Permintaan pengeluaran KWSP bersasar bukanlah permintaan kami tetapi permintaan rakyat yang semakin tersepit dan terbeban dengan masalah kewangan.


"Lihat sahaja bagaimana rintihan peniaga-peniaga di bazar Ramadan yang tidak lagi mampu menikmati keuntungan seperti dulu kerana kurangnya rakyat berbelanja.


"Ini jelas menunjukkan bahawa rakyat bukan sahaja sudah tidak ada duit untuk berbelanja bagi memenuhi persiapan hari raya, bahkan sudah tidak ada duit untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian," tegas Wan Fayshal.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo