Permohonan Pejuang sertai PN ditolak


Permohonan Pejuang sertai PN ditolak



SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada Isnin yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).


Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan semua wakil parti-parti anggota.



Hamzah berkata, pihaknya juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan selain menggunakan lambang parti Pas di Kelantan serta Terengganu.


"Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Sementara itu, Hamzah memaklumkan pihaknya telah mengumumkan pelantikan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN manakala Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri Sabah.


Tambah Hamzah, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan.


Selain itu, Hamzah memaklumkan turut diputuskan ialah pelantikan Tuan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif PN.




@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo