Lelaki dipenjara 35 tahun akhirnya bebas kerana tidak bersalah



Lelaki dipenjara 35 tahun akhirnya bebas kerana didapati tidak bersalah setelah siasatan semula dilakukan

Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) yang telah meringkuk di dalam penjara selama lebih tiga dekad akhirnya dibebaskan pada Isnin selepas tuduhan rompakan bersenjata ke atasnya digugurkan.


Sidney Holmes, 57, dihukum penjara 400 tahun selepas disabit bersalah pada April 1989 atas kes jenayah tersebut yang berlaku setahun sebelum itu.


"Kita mempunyai satu peraturan di sini iaitu sentiasa lakukan perkara yang betul. Sebagai pendakwa raya, satu-satunya agenda kami adalah untuk mempromosikan keselamatan awam dalam komuniti dan memastikan keadilan ditegakkan.


"Saya memuji mangsa, saksi dan anggota penguatkuasa undang-undang atas kerjasama mereka untuk membantu siasatan semula kes ini yang terjadi lebih 34 tahun lalu," kata Peguam Negara Boward, Harold F Pryor.


Sejurus keputusan itu dibuat Hakim Edward Merrigan di Kompleks Kehakiman Fort Lauderdale di Florida, Holmes dilihat menangis kegembiraan dan turut disambut keluarganya.


"Perkara pertama yang saya mahu buat ialah mendapatkan sesuatu untuk dimakan. Saya tidak akan benci atau dendam kepada sesiapa dan hanya mahu teruskan kehidupan," ujarnya dalam nada sebak.


Sebelum ini, Holmes yang ketika itu berusia 23 tahun disabit bersalah kerana didakwa menjadi pemandu kepada dua lelaki bersenjata yang tidak dikenal pasti dalam kejadian rompakan pada Jun 1988.


Pada 2020, dia menghubungi Unit Semakan Sabitan Peguam Negara (CRU) untuk menyatakan dirinya tidak bersalah.


CRU kemudiannya memutuskan untuk melancarkan siasatan semula dan mendapati berlaku kekeliruan melibatkan kereta dipandu oleh Holmes dengan kenderaan sebenar milik perompak pada masa itu.


Berdasarkan laporan siasatan semula selama dua tahun setengah itu, lima daripada enam panel bebas sebulat suara mengundi Holmes tidak bersalah dan tuduhan ke atasnya perlu digugurkan serta-merta. - Agensi


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!





Yolooo